Wednesday, 30 August 2017

SULTAN MUHAMMAD AL-FATAH MENAWAN KOTA KONSTANTINOPLE


Sultan Muhammad Al-Fatah (Fateh) berjaya melaksanakan misi mustahil menawan Kota Konstantinople yang mana ketika itu mempunyai dua tembok yang berlapis paling utuh, sebuah ibu kota terkuat, terbesar dan terkaya di dunia. Ramai yang beranggapan terlalu mustahil untuk menakluki kota tersebut memandangkan kekuatan temboknya umpama kubu serta memiliki sistem pertahanan dan juga atas faktor geografi. Sebelum kelahiran Sultan Muhammad Al-Fatah, kota ini telah banyak kali cuba ditawan oleh kuasa lain tetapi gagal dan masih mampu bertahan lebih 1,000 tahun.

Suatu hari, Sultan Muhammad Al-Fatah mendengar tentang seorang pembuat meriam yang mahir dan handal bernama Urban. tetapi malangnya Urban ketika itu dikurungkan dalam penjara oleh pemerintah Konstantinople disebabkan keengganan beliau untuk bekerjasama dengan pemerintah Konstantinople yang amat zalim pada rakyatnya ketika itu. Sultan Muhammad Al-Fatah telah menghantar perisik untuk mengukur tembok, keluasan sungai dan struktur Kota Konstantinople. Berbekalkan ukuran tersebut, Sultan Muhammad Al-Fatah telah mengarahkan agar terowong bawah tanah digali menuju ke bilik penjara Urban. Urban berjaya dikeluarkan. Urban telah bersetuju bekerjasama dengan Sultan Muhammad Al-Fatah dan telah mencipta meriam yang paling canggih dan paling kuat ketika itu. Dikatakan bahawa berat bola meriam itu sahaja sudah melebihi 300kg dan bunyi letupan meriam itu boleh didengar sejauh 5 kilometer. Ternyata meriam ini telah mampu merosakkan tembok Kota Konstantinople sedalam enam kaki.

Namun, meriam ini hanya dapat dihalakan dari jauh sahaja kerana kapal-kapal tentera Islam tidak dapat masuk ke dalam perairan Tanjung Emas (Golden Horn) kerana terdapatnya rantai besi yang panjang menghalang laluannya. Rantai ini cuba dimusnahkan oleh tentera Islam dengan meriam dan gergaji tetapi masih gagal diputuskan. Sultan Muhammad Al-Fatah mendapat idea yang teramat luar biasa untuk memindahkan kapal-kapal laut ke Perairan Tanjung Emas dengan menebang kayu-kayu untuk dijadikan roda dan landasan. Pepohon kayu ini dilicinkan dengan minyak supaya kapal-kapal mudah dipindahkan melalui jalan darat. Bayangkan dalam waktu malam dan dalam keadaan hujan yang renyai, tentera Islam memindahkan kapal-kapal merentasi bukit untuk memasuki perairan Tanjung Emas Kota Konstantinople. Keesokan paginya, penduduk Kota Konstantinople dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid tentera Islam. Mereka tidak menyangka dan tidak percaya kapal-kapal tentera Islam dapat masuk ke Tanjung Emas Kota Konstantinople tanpa merosakkan rantai besi yang mengawal lalu lintasnya.

Akhirnya, penciptaan meriam, roda dan landasan dari pokok kayu membolehkan tentera Sultan Muhammad Al-Fatah berjaya menawan Kota Konstantinople pada 29 Mei 1453. Inovasi ini mengubah sejarah dunia jatuhnya Kota Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan, kekebalan dan ketebalan kotanya yang amat mustahil untuk dirobohkan. 

Nukilan oleh:

Abe Nohara @ Fadzli Hisyam@ MrJayess11

30 Ogos 2017 Bersamaan 8 Zulhijjah 1438H

No comments:

Post a Comment