Monday, 17 December 2018

PERAKAUNAN AKRUAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT): TATACARA MENGAKAUN ASET DALAM PEMBINAAN, SUMBANGAN KEWANGAN KERAJAAN NEGERI & PERSEKUTUAN DAN SUMBANGAN KERAJAAN TERTUNDA


TUJUAN

1.      Kertas Cadangan ini adalah bertujuan mencadangkan tatacara mengakaun Aset Dalam Pembinaan, Sumbangan Kewangan Kerajaan Negeri & Persekutuan dan Sumbangan Kerajaan Tertunda melibatkan aset yang dibiayai sama ada dari peruntukan Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

LATARBELAKANG

2.         Beberapa istilah penting diperjelaskan seperti berikut:-

2.1.      Aset Dalam Pembinaan

“Aset Dalam Pembinaan” bermaksud pembinaan atau projek yang akan diiktiraf sebagai Aset Tetap apabila ia siap. Ia merupakan aset yang masih di dalam pembinaan atau pembangunan aset yang masih dalam kemajuan sesuatu projek. Lazimnya, sesuatu projek melibatkan aset mengambilmasa melebihi tempoh satu tahun kewangan untuk disiapkan dan dinamakan Aset Dalam Pembinaan atau Aset Dalam Kemajuan atau seumpamanya. Terdapat dua (2) keadaan bagi Aset Dalam Pembinaan bagi PBT iaitu:-

a.    Melibatkan peruntukan PBT sendiri
b.    Melibatkan sumbangan atau peruntukan dari Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan

2.2.      Sumbangan atau Bantuan Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjana ekonomi dan kemajuan negara dalam bentuk waran peruntukan dan tunai. Terdapat dua (2) keadaan sumbangan atau peruntukan dari Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan iaitu:

a.    Sumbangan Kerajaan Berbentuk Waran Peruntukan

Dalam konteks PBT, Sumbangan Kerajaan Berbentuk Waran Peruntukan adalah peruntukan projek pembangunan yang lazimnya diberi oleh Kerajaan Persekutuan dalam bentuk Waran Peruntukan. Waran Peruntukan adalah kebenaran berbelanja kepada PBT tanpa melibatkan pergerakan tunai secara langsung kerana lazimnya pembayaran dibuat oleh pihak ketiga iaitu Pejabat SUK Negeri atau Pejabat Pembangunan Negeri. Terdapat dua (2) keadaan bagi sumbangan ini iaitu:-

i.      Melibatkan wujudnya aset/ hartamodal
ii.      Tidak melibatkan wujudnya aset/ hartamodal

b.    Sumbangan Kerajaan Berbentuk Tunai

Dalam konteks PBT, Sumbang Kerajaan Berbentuk Tunai adalah peruntukan projek pembangunan yang diberikan sama ada oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan dalam bentuk cek atau melalui pindahan akaun secara elektronik (Electronic Funds Trasfer). Ianya melibatkan pergerakan tunai secara langsung di Kumpulan Wang PBT. Lazimnya dinamakan “Sumbangan Amanah” kerana peruntukan ini melibatkan tunai bersama sumbangan yang diamanahkan. Juga, terdapat dua (2) keadaan bagi sumbangan ini iaitu:-

a.         Melibatkan wujudnya aset/ hartamodal
b.         Tidak melibatkan wujudnya aset/ hartamodal

2.3.      Sumbangan Kerajaan Tertunda (BKT)

“Sumbangan Kerajaan Tertunda” bermaksud Sumbangan Kerajaan Berbentuk Waran Peruntukan atau tunai tetapi hanya melibatkan jika wujudnya aset atau hartamodal daripada sumbangan yang diberikan. “Tertunda” memberi maksud sumbangan ini ditunda ke tahun berikutnya kerana aset tersebut belum siap sepenuhnya pada tahun kewangan. Sumbangan Kerajaan ini ditunda berdasarkan kadar susutnilai aset berkenaan dan rosotnilai dicaj di akaun belanja “Sumbangan Kerajaan Tertunda Direalisasikan”. Lazimnya Sumbangan Kerajaan ini akan ditunda selama mana jangkahayat aset berkenaan melalui rosotnilai.

3.         ASAS-ASAS PENGKELASAN PERAKAUNAN

3.1.      Menurut MASB 31-Accounting For Goverment Grants And Disclosure Of Goverment Assistance; apa-apa bantuan kerajaan sama ada berbentuk kewangan atau bukan kewangan hendaklah dimasukkan sebagai modal atau pendapatan ketika ia diperolehi. Terdapat dua (2) pendekatan yang boleh dilaksanakan iaitu:-

a.    Pendekatan Modal (Capital Approach)
b.    Pendekatan Pendapatan (Income Approach)

3.2.   Dalam konteks PBT, Pendekatan Modal (Capital Approach) bersesuaian bagi Sumbangan Kerajaan melibatkan aset yang diterima dan dapat diselesaikan dalam tempoh kewangan semasa.  Manakala, Pendekatan Pendapatan (Income Approach) bersesuaian bagi Sumbangan Kerajaan melibatkan Aset Dalam Pembinaan yang belum siap sepenuhnya pada tahun kewangan semasa.

3.3.   Sumbangan Kerajaan yang tidak melibatkan aset hanya boleh menggunakan Pendekatan Modal (Capital Approach).

3.4.   Manakala Aset Dalam Pembinaan melalui peruntukan PBT itu sendiri, pengiktirafan aset diiktiraf dan disusutnilaikan pada tahun kewangan penyiapan sesuatu aset.
           
4.         CATATAN BERGU

4.1.      Contoh Aset Dalam Pembinaan Melalui Peruntukan PBT Sendiri

Pada 08 Januari 2010, Majlis Perbandaran Q telah melantik Kontraktor Y untuk membina Dewan Serbaguna berjumlah RM450,000.00 dalam kawasan PBT tersebut. Aset bangunan disusutnilai sebanyak 5% setahun oleh Majlis Bandaraya Q. Pembayaran kerja-kerja tersebut telah telah dibuat mengikut kemajuan kerja seperti berikut:-

i. 11 Mei 2010   25% Kerja-kerja Awal berjumlah RM112,500.00
ii. 04 Ogos 2010 45% Kemajuan Pembinaan berjumlah RM90,000.00
iii.25 Nov 2010   75% Kemajuan Pembinaan berjumlah RM135,000.00
iv. 03 Feb 2011   100% Projek Siap berjumlah RM112,500.00

Tahun 2010

11 Mei 2010 –  Dt Aset Dalam Pembinaan     RM112,500
                              Kt Tunai                                   RM112,500

04 Ogos 2010 – Dt Aset Dalam Pembinaan     RM90,000
                                Kt Tunai                                 RM90,000

25 Nov 2010 –   Dt Aset Dalam Pembinaan     RM135,000
                                Kt Tunai                                 RM135,000

31 Dis 2010 -     Tiada apa-apa perlakuan perakaunan

Tahun 2011

03 Feb 2011 –    Dt Aset Dalam Pembinaan     RM112,500
                                Kt Tunai                                  RM112,500

                           Dt Aset Bangunan                   RM450,000
                                Kt Aset Dalam Pembinaan      RM450,000

31 Dis 2011-      Dt Susutnilai Bangunan          RM22,500
                                Kt Aset Bangunan                   RM22,500      
                          
                           (RM450,000 x 5%)

4.2.  Contoh Aset Dalam Pembinaan Melalui Peruntukan Kerajaan Persekutuan (Income Approach)

Pada 08 Januari 2010, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan telah mengeluarkan waran peruntukan berjumlah RM450,000.00 kepada Majlis Perbandaran Q untuk membina Dewan Serbaguna dalam kawasan PBT tersebut. Aset bangunan disusutnilai sebanyak 5% setahun oleh Majlis Bandaraya Q.Pembayaran kerja-kerja tersebut telah telah dibuat oleh Pejabat SUK Negeri mengikut kemajuan kerja seperti berikut:-

i.   11 Mei 2010: 25% Kerja-kerja Awal berjumlah RM112,500.00
ii.  04 Ogos 2010: 45% Kemajuan Pembinaan berjumlah RM90,000.00
iii. 25 Nov 2010: 75% Kemajuan Pembinaan berjumlah RM135,000.00
iv.  03 Feb 2011: 100% Projek Siap berjumlah RM112,500.00

Tahun 2010

11 Mei 2010 – Dt Aset Dalam Pembinaan     RM112,500
                             Kt Sumbangan Kerajaan Tertunda     RM112,500

04 Ogos 2010 –Dt Aset Dalam Pembinaan     RM90,000
                             Kt Sumbangan Kerajaan Tertunda     RM90,000

25 Nov 2010 –  Dt Aset Dalam Pembinaan     RM135,000
                             Kt Sumbangan Kerajaan Tertunda     RM135,000

31 Dis 2010 -    Tiada apa-apa perlakuan perakaunan

Tahun 2011

03 Feb 2011 –    Dt Aset Dalam Pembinaan                 RM112,500
                               Kt Sumbangan Kerajaan Tertunda         RM112,500

31 Dis 2011-      Dt Sumbangan Kerajaan Tertunda     RM22,500
                                Kt Sumbangan Kerajaan Tertunda        RM22,500  
                                     Direalisasi
  
(RM450,000 x 5%)

Sumbangan Kerajaan Tertunda Direalisasikan ini terus diakaunkan sebagai hasil sehingga ianya selesai dirosotnilaikan.

4.3.  Contoh Pendekatan Modal (Capital Approach) Melalui Peruntukan Kerajaan Persekutuan (Capital Approach)

Pada 08 Januari 2010, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan telah mengeluarkan waran peruntukan berjumlah RM55,000.00 kepada Majlis Perbandaran Q untuk membeli Proton Arena dan kelengkapan bagi kegunaan PBT tersebut untuk tujuan membasmi denggi. Kenderaan tersebut telah dibeli pada 11 Februari 2010 dan pembayaran berjumlah RM54,500.00 telah dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri kepada pembekal. Aset kenderaan disusutnilai sebanyak 20% setahun oleh Majlis Bandaraya Q.

11 Feb 2010 – Dt Aset Kenderaan                       RM54,500
                             Kt         Sumbangan Kerajaan        RM54,500

31 Dis 2010-    Dt Susutnilai Kenderaan             RM10,900
                              Kt         Aset Kenderaan               RM10,900
                                                (RM55,500 x 20%)

4.4.    Sumbangan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri Berbentuk Tunai Tetapi Tidak Melibatkan Aset
           
Sumbangan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri tetapi tidak melibatkan aset hanya boleh menggunakan Pendekatan Modal (Capital Approach) dan dijelaskan seperti berikut:-

Pada 20 Mei 2010, Kerajaan Negeri X telah mengeluarkan cek no BBMB 00007 melalui peruntukan berjumlah RM280,000.00 kepada Majlis Daerah V untuk Peruntukan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS). Pada  31 Oktober 2010, keseluruhan projek ini telah dibayar oleh majlis berjumlah RM268,000.00.
 
20 Mei 2010 – Dt Tunai                           RM280,000
                              Kt Sumbangan Amanah         RM280,000

31 Okt 2010 – Dt Sumbangan Amanah   RM268,000
                             Kt Tunai                                   RM268,000
           
Baki RM12,000.00 (RM280,000 – RM268,000) Sumbangan Amanah ini terus diakaunkan sehingga ianya selesai.


4.5.    Sumbangan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri Berbentuk Waran Peruntukan Tetapi Tidak Melibatkan Aset
           
Sumbangan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri melalui Waran Peruntukan tetapi tidak melibatkan aset hanya boleh menggunakan Pendekatan Modal (Capital Approach) dan dijelaskan seperti berikut:-

Pada 20 Mei 2010, Kerajaan Negeri X telah mengeluarkan melalui peruntukan peruntukan berjumlah RM280,000.00 kepada Majlis Daerah V untuk Peruntukan Wang Amanah Penyelenggaraan Longkang PBT. Pada  31 Oktober 2010, keseluruhan projek ini telah dibayar oleh Pejabat SUK Negeri berjumlah RM268,000.00.
 
20 Mei 2010 – Dt Sumbangan Kerajaan  RM280,000
                              Kt Sumbangan Amanah         RM280,000

31 Okt 2010 – Dt Sumbangan Amanah   RM268,000
                              Kt Sumbangan Kerajaan        RM268,000
           
Baki RM12,000.00 (RM280,000 – RM268,000) Sumbangan Amanah ini terus diakaunkan sehingga ianya selesai.

5.         PERLAKUAN PERAKAUNAN

5.1.     Bagi Sumbangan Kerajaan yang diterima dalam bentuk waran peruntukan yang pada asasnya tidak melibatkan pergerakan tunai secara langsung kerana pembayaran projek dibayar oleh pihak ketiga seperti Kerajaan Negeri atau Pejabat Pembangunan Negeri tetapi telah mewujudkan aset/ hartamodal dan melebihi tempoh satu tahun kewangan untuk disiapkan; PBT bolehlah:-

a.Mengiktirafkannya sebagai Aset Dalam Pembinaan atau seumpamanya.

b.  Menamakan sumbangan kerajaan itu sebagai Sumbangan Kerajaan Tertunda atau seumpamanya.

c.    Hasil bantuan kerajaan ini hendaklah direalisasikan berdasarkan kadar susutnilai aset yang berkenaan selama mana jangkahayat aset berkenaan (kadar rosotnilai aset).

5.2.      Bagi bantuan kerajaan yang diterima dalam bentuk waran peruntukan yang pada asasnya tidak melibatkan pewujudan aset/ hartamodal; PBT bolehlah:-

a. Menamakannya Sumbangan Kerajaan itu sebagai Sumbangan Amanah atau sempamanya.

b.    Tidak perlu melakukan sebarang perlakuan perakaunan, atau

c.  Membuat perlakuan perakaunan di para 4.5 selaras dengan MASB 31-Accounting For Goverment Grants And Disclosure Of Goverment Assistance.

5.3.   Bagi bantuan kerajaan yang diterima dalam bentuk tunai yang pada asasnya melibatkan pergerakan tunai secara langsung; Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pahang hendaklah:-

a.    Menamakannya sebagai Sumbangan Amanah atau sempamanya.

b.    Membuat perlakuan perakaunan di para 4.4 selaras dengan MASB 31-Accounting For Goverment Grants And Disclosure Of Goverment Assistance.


Nukilan;

Abe Nohara (Hima Wari’s husband)
18 Disember 2018 bersamaan
10 Rabiulakhir 1440 Hijrah

No comments:

Post a Comment