Wednesday, 7 August 2024

On-Call - ELAUN TUGAS ATAS PANGGILAN (ETAP) KEPADA PEGAWAI PERUBATAN DAN PAKAR PERUBATAN

 

Para 14, Perintah Am (GO) Bab G ada menyatakan Pegawai-pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P iaitu Gred 41 dan ke atas) adalah tidak layak untuk mendapat bayaran kerana bekerja lebihmasa (overtime).

Namun begitu, terdapat beberapa perkhidmatan Kerajaan yang memerlukan Pegawai-pegawai dalam Kumpulan P&P ini melaksanakan kerja melebihi masa waktu bekerja biasa mereka seperti perkhidmatan bomba dan penyelamat, maritim dan polis. Mengambilkira kepentingan ini, Kerajaan Malaysia telah memberi Elaun Khas kepada mereka. Apa yang saya ingat, Elaun Khas RM250.00 telah diberi kepada semua anggota Maritim Malaysia termasuk dalam Kumpulan P&P iaitu Leftenan Muda dan ke atas.   

Para 40, Perintah Am Bab C pula menyatakan seseorang pegawai yang telah diberi Elaun Khas ini adalah tidak layak mendapat bayaran kerana bekerja lebihmasa. Peraturan ini adalah terpakai termasuk kepada Pegawai-pegawai dalam Kumpulan Sokongan (Gred 40 dan ke bawah). Sebab itulah anggota-anggota Maritim Malaysia tidak boleh menuntut elaun kerana bekerja lebihmasa.

Bagi Pegawai Perubatan (Doktor), Pegawai Farmasi dan Juru X-ray dalam Kumpulan P&P pula, Kerajaan melalui surat Jabatan Perkhidmatan Awam JPA(S).800-7/2/148 Jld.3(2) bertarikh 12 Mac 2024 telah meluluskan apabila mereka diarahkan menjalankan kerja di luar waktu bekerja biasa di Klinik Kerajaan atau di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan, mereka layak menuntut Elaun Bertugas Selepas Waktu Pejabat.

Manakala bagi Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan yang melaksanakan pembedahan pada hari Sabtu, mereka boleh menuntut bayaran ini berdasarkan Surat Edaran Bahagian Akaun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bilangan 3 Tahun 2014: Garis Panduan Tuntutan Bayaran Insentif Pembedahan Elektif Pada Hari Sabtu Bagi Pegawai Perubatan Dan Pakar Perubatan.


ON-CALL (ETAP)

On-Call atau nama barunya adalah Elaun Tugas Atas Panggilan adalah elaun paling lama diberi kepada Pegawai P&P iaitu kepada Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan semenjak 24 Disember 1998. Mereka layak menuntut elaun ini apabila diarah berkhidmat di luar waktu bekerja biasa di Klinik Kesihatan atau Hospital Kerajaan. 

Terdapat tiga (3) jenis tuntutan ETAP iaitu:

1.Panggilan Aktif (Active-Call)

2.Panggilan Pasif (Passive-Call) Melebihi Empat (4) jam

3.Panggilan Pasif (Passive-Call) Kurang Empat (4) jam


Panggilan Aktif (Active-Call)

Layak dituntut apabila diarah bertugas di Klinik Kesihatan atau Hospital Kerajaan di luar waktu berkerja biasa melebihi lima belas(15) jam secara berterusan pada hari bekerja, hari cuti mingguan atau hari cuti kelepasan am.


Panggilan Pasif (Passive-Call) Melebihi Empat (4) jam

Layak dituntut apabila bersedia di rumah dalam lingkungan tiga puluh tiga (33) kilometer atau tiga puluh (30) minit dari tempat bertugas dan dipanggil bertugas ke tempat bertugas melebihi empat (4) jam pada hari bekerja, hari cuti mingguan atau hari cuti kelepasan am.


Panggilan Pasif (Passive-Call) Kurang Empat (4) jam

Layak dituntut apabila bersedia di rumah dalam lingkungan tiga puluh tiga (33) kilometer atau tiga puluh (30) minit dari tempat bertugas sama ada dipanggil atau tidak dipanggil bertugas kurang empat (4) jam pada hari bekerja, hari cuti mingguan atau hari cuti kelepasan am.


Maklumat lanjut berkaitan kadar-kadar bayaran ETAP ini boleh dirujuk berdasarkan Garis Panduan Bahagian Akaun, KKM Bilangan 2 Tahun 2023: Tuntutan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) Bagi Pegawai Perubatan Dan Pegawai Perubatan Pakar Termasuk Di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Nukilan:

ABE NOHARA (HIMA WARI’s HUSBAND)

08 Ogos 2024 bersamaan

04 Safar 1446 Hijrah


No comments:

Post a Comment