Tuesday, 13 August 2019

NAIKTARAF MAJLIS PERBANDARAN KUANTAN KEPADA MAJLIS BANDARAYA KUANTAN


Sebenarnya, cadangan menaiktaraf Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) adalah isu lama; cumanya sekitar tahun 2011 Menteri Besar ketika itu memaklumkan belum masanya MPK dinaiktaraf kepada MBK. Bukan isu kriteria-kriteria Bandaraya yang belum dicapai oleh MPK untuk menjadi Bandaraya tetapi kalau tak silap saya isu kesesakan lalulintas. Allahu Aqlam hanya MB (sekarang bekas MB) yang tahu kenapa beliau tidak setuju ketika itu. 

Keperluan menukar taraf Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperuntukkan di Seksyen 4 (2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) adalah kuasa Pihak Berkuasa Negeri, setelah berunding dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan tersebut; seterusnya melalui pemberitahuan dalam Warta, menukar taraf sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan.


Menurut Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 4 Tahun 2008; kriteria naik taraf Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya adalah seperti berikut:-

a.PBT itu harus meliputi kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri;

b.Mempunyai penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang;

c.Mempunyai pendapatan dari sumber kewangan yang mapan (fiscally sustainable) dengan hasil tahunan tidak kurang dari RM100 juta serta mampu mengimbangkan perbelanjaan;

d.Berupaya menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan pada tahap yang tinggi termasuklah aktiviti kutipan hasil, kelulusan pemajuan pembangunan, penguatkuasaan dan lain-lain fungsi PBT serta mempunyai struktur organisasi yang mantap serta kakitangan yang berkebolehan menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan;

e.Pembangunan bandar yang menekankan kepada pembangunan mapan (sustainable development) serta memberi tumpuan kepada usaha untuk menangani isu-isu perbandaran seperti setinggan, operasi kilang haram, keselamatan, perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan pemeliharaan alam sekitar. Indikator bandar mapan seperti yang ditekankan dalam Sistem Malaysia Urban Indicator Network (MURNInet) juga akan diambil kira;

f.Pembentukan imej bandar ataupun identiti yang bersesuaian dengan fungsi bandar dan budaya nasional yang melambangkan sejarah dan warisan. Kawasan-kawasan dan bangunan-bangunan yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan senibina yang unik serta perlu dipelihara;

g.Mempunyai pusat perindustrian, institusi kewangan dan kemudahan menjalankan perniagaan dan perdagangan bagi menarik kemasukan pelabur. Ini termasuklah kemudahan-kemudahan perhotelan bagi menggalakkan kegiatan pelancongan dan urusan perniagaan. Tumpuan diberikan kepada kepesatan sektor perkhidmatan serta pembangunan aktiviti ekonomi bandar yang bernilai tambah dan berorientasikan pengetahuan;

h.Pusat institusi pendidikan yang lengkap dengan universiti, kolej, maktab, muzium dan perpustakaan awam;

i.Pusat kepada aktiviti kebudayaan, acara-acara sukan dan riadah serta konvensyen di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;

j.Mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, utiliti awam yang mencukupi termasuklah taman-taman awam yang mesra pengguna terutamanya kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Ini termasuklah kemudahan-kemudahan pengangkutan awam, sistem pengurusan lalulintas dan rangkaian jalan raya yang cekap serta perkhidmatan ICT; dan

k.Mendapat pengiktirafan tertentu sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa dalam bidang-bidang tertentu sejajar dengan taraf sebagai sebuah bandar raya.

Jelaslah di sini, berdasarkan kriteria-kriteria di atas; Majlis Perbandaran Kuantan (MBK) sebenarnya telah lama layak dinaiktaraf kepada Bandaraya sejak tahun 2011 lagi. Cuma ketika itu, Pusat Konvensyen di Hotel Zenith tak ada lagi ketika itu. 
Allahu Aqlam.

Nukilan,

Abe Nohara (Hima Wari’s Husband)
13 Ogos 2019 bersamaan
12 Zulhijjah 1440 Hijrah

No comments:

Post a Comment