Monday, 14 February 2011

NYAWA ABDULLAH BIN ABDUL MUTALIB DIGANTI NYAWA 100 EKOR UNTA

Sempena kelahiran Rasulullah SAW 12 Rabiulawal 1432 Hijrah bersamaan 15 Februari 2011; saya ingin memceritakan kisah bapa baginda, Abdullah yang nyawanya ditebus dengan nyawa 100 ekor unta.
Kisahnya begini, Abdul Mutalib iaitu nenda baginda Rasulullah SAW sebagai penjaga Kaabah telah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak lelaki dan beliau bernazar jika beliau mendapat 10 orang anak lelaki, akan beliau korbankan salah seorang daripadanya kepada tuhan. Ditakdirkan beliau telah mendapat 10 orang anak lelaki. Abdullah adalah anak lelaki bongsu Abdul Mutalib iaitu yang ke-sepuluh yang menjadi kesayangan Abdul Mutalib.
Abdul Mutalib adalah seorang yang berpegang kepada prinsip dan nazarnya bahawa salah seorang daripada 10 orang anak lelakinya haruslah dikorbankan. Caranya ialah dengan mencabut undi; sesiapa yang diundi dialah yang akan dikorbankan ditempat sembelihan antara berhala Isafa dan Nilah. Nasib tidak baik, Abdullah yang terkena undi, jadi dialah yang akan dikorbankan.
Walaupun tindakan Abdul Mutalib ini ditentang keras oleh rakan-rakan baiknya, Abdul Mutalib tetap mahu meneruskan nazarnya. Puas sahabatnya memujuk, tetapi perkara berkaitan agama dan janji kepada tuhan adalah lebih diberi keutamaan.
Seorang rakannya bernama Al-Makhzuni mencadangkan supaya Abdul Mutalib mencari ikhtiar lain dan lantas disokong oleh orang ramai. Masalah Abdul Mutalib dirujuk kepada Kahinah, seorang pendeta wanita di Yasrib yang disanjung oleh masyarakat dalam menyelesaikan masalah yang sukar.
Kahinah mencadangkan nyawa Abdullah diganti dengan 10 ekor unta dengan membuat undian. Asasnya adalah berdasarkan seperti hukum diat Quraisy iaitu denda membunuh orang yang tidak bersalah. Apabila diundi nanti nama Abdullah yang naik, perlu diundi sekali lagi sehinggalah nama unta yang naik. Telah ditakdirkan bahawa nilai nyawa Abdullah mempunyai nilai yang tinggi…Bila undian dijalankan, nama Abdullah yang naik, bukan nama unta. Ke-2, ke-3,, ke-4 hinggalah ke-10….nama Abdullah yang naik, bukan nama unta.
Apabila undian yang ke-sebelas (11) dijalankan, barulah nama unta yang naik. Bermakna sudah 100 ekor unta disediakan sebagai ganti nyawa Abdullah. Namun Abdul Mutalib bimbang itu adalah kebetulan sahaja, dicubanya untuk kali ke-12, nama unta yang naik… Beliau tidak puas hati lagi, dicubanya undi kali ke-13, (tiga (3) kali cubaan) juga nama unta yang naik. Barulah Abdul Mutalib puas hati bahawa tuhan telah menerima ganti nyawa Abdullah sebanyak nyawa 100 ekor unta.
Itulah kisah Abdullah bin Abdul Mutalib, bapa Rasulullah SAW. Bayangkan jika bapa baginda telah dikorbankan, maka tidak akan lahir Penghulu segala Nabi yang kita sambut kelahirannya pada hari ini. ITU SEMUA TAKDIR-NYA dan kita tidak akan dapat mengubah qada’ & qadar termasuk jodoh dan ajal/ maut.
OLEH: jayess11 aka AY aka Fadzli Hisyam

2 comments: