Monday, 7 February 2011

SURAQAH BIN MALIK

Kenalkah anda dengan Suraqah Bin Malik? Untuk makluman beliaulah yang mengejar Rasullullah SAW dan Abu Bakar As Siddiq ketika perjalanan Hijrah. Ketika beliau sudah hampir kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar As Siddiq, tiba-tiba kudanya   tergelincir dan Suraqah terjatuh. Beliau kembali bangun dan menunggang kudanya untuk mengejar. Ketika telah hampir menghayunkan tombaknya ke arah Rasulullah SAW, kaki kudanya terbenam dan beliau terjatuh. Rasullullah SAW pada ketika itu berpeluang membunuh Suraqah, namun baginda melepaskan Suraqah. Ketika itulah Suraqah memohon supaya dibuat sepucuk surat yang merupakan perjanjian antara beliau dengan baginda Rasulullah SAW.
Isi surat perjanjian itu adalah pengakuan Suraqah Bin Malik untuk tidak memaklumkan bahawa beliau telah mengejar Rasulullah SAW ketika baginda dalam perjalanan ke Madinah. Jika berita ini diketahui kaum Quraisy ketika itu, maka sudah pasti kaum Quraisy akan menghantar bala tentera mereka mengejar Rasulullah SAW dan Abu Bakar As Siddiq. Setelah Abu Bakar As Siddiq menulis surat itu serta diserahkan kepada Suraqah, Suraqah kembali ke Mekah, manakala Rasullullah SAW serta Abu Bakar As Siddiq meneruskan hijrah ke Madinah tanpa gangguan.
Peristiwa itu berlaku bertahun-tahun lamanya sehinggalah selepas peperangan Hunein, di mana seorang lelaki menyerbu untuk mendekati Rasulullah SAW walaupun dihalang oleh para sahabat serta tidak mempedulikan tombak yang diacukan padanya sambil berkata,
“Wahai Rasulullah! Akulah Suraqah Bin Malik dan ini surat perjanjian antara aku dengan engkau dahulu”.
Mengetahui akan perkara itu, Rasulullah SAW meminta Suraqah Bin Malik menghampiri baginda seraya berkata,
“Hari ini adalah hari penyempurnaan janji dan hari kebajikan”.
Sikap Rasullullah SAW yang manis menyebabkan Suraqah Bin Malik memeluk Islam dan menjadi pahlawan agung Islam. Itulah Suraqah Bin Malik.

Oleh: jayess11 aka AY aka Fadzli Hisyam

No comments:

Post a Comment