Sunday, 13 February 2011

PENENTUAN ARAH KIBLAT

Semasa saya berumur 7 tahun, surau berhampiran rumah saya baru di bina. Ketika itu cara menentukan arah kiblat surau tersebut berdasarkan arah matahari terbenam.  Umumnya, jika kita merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah kiblat; kaedah ini adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari yang terbenam adalah berubah-ubah dan tidak tetap.

Untuk makluman, “istiwa” matahari iaitu matahari berada betul-betul di atas Kaabah hanya akan berlaku setiap tahun pada 28 Mei pukul 5.16 petang waktu Malaysia dan sekali lagi pada 16 Julai pukul 5.28 petang. Berdasarkan fenomena ini umat Islam di dunia berpeluang untuk menentukan arah kiblat dari tempat masing-masing pada masa tersebut. Oleh kerana peristiwa ini berlaku waktu petang di Malaysia, maka bayang objek yang panjang ketika itu memudahkan penentuan arah kiblat dilakukan. Dua tarikh ini sahaja dalam setahun kita boleh menentukan arah kiblat berdasarkan kedudukan matahari hendak terbenam ke arah barat.

Selepas saya belajar asas Ilmu Astronomi sekitar tahun 1994, barulah saya ketahui bahawa “dzan” kiblat surau berhampiran rumah saya tidak menunjukkan kedudukan arah yang tepat. Menghadap ke arah kiblat menjadi syarat sah bagi umat Islam yang hendak menunaikan solat baik solat fardhu lima waktu sehari semalam atau solat sunat yang lain. Kaedah dalam menentukan arah kiblat memerlukan suatu ilmu khusus yang harus dipelajari atau sekurang-kurangnya meyakini arah yang dibenarkan agar sesuai dengan syariat. Surah Al-Baqarah ayat 149 yang bermaksud:-



149. Dan dari mana sahaja Engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang),  maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (Kaabah); dan Sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan Segala apa Yang kamu lakukan.


Menentukan Arah Kiblat Berdasarkan Buruj

Sebelum ini, saya ada mengatakan bahawa buruj digunakan oleh Ahli Astronomi untuk menentukan arah termasuk arah kiblat. Buruj yang paling terkenal, di mana saya jadikan ia sebagai penentuan arah kiblat ketika waktu malam adalah Buruj Al-Babadur atau dikenali sebagai Buruj Orion.

Pada Buruj Al-Babadur ini terdapat tiga bintang yang berderet iaitu Al-Mintaka, An-Nilam dan An-Nitak. Arah Kiblat dapat diketahui dengan mengunjurkan arah tiga bintang berderet tersebut ke arah Barat. Buruj ini akan berada di langit Malaysia ketika pada hujung bulan Julai dan kemudian akan kelihatan lebih awal pada bulan Disember dan akan berada ditengah-tengah langit pada bulan Mac.

Buruj inilah yang menguatkan teori saya bahawa “dzan” kiblat surau berhampiran rumah saya tidak menunjukkan arah yang benar-benar tepat. Perkara ini saya bangkitkan kepada salah seorang ahli jemaah surau, tetapi pendapat saya hanya dipandang sepi seolah-olah siapalah saya untuk membetulkan yang sebenarnya tidak betul. Akibatnya, hampir 5 tahun saya tidak menjejak kaki ke surau berhampiran rumah saya (walaupun jaraknya hanya 8 langkah kaki sahaja) sehinggalah apabila surau tersebut hendak dinaiktaraf dari kayu dan papan kepada konkrit. Mungkin atas sebab perkara saya tidak ke surau  dan memerlukan kepastian, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah diminta menentukan “dzan” kiblat yang sebenar. Memang benar, “dzan” kiblat yang ditentukan adalah seperti yang telah saya maklumkan 5 tahun sebelum itu.






Buruj Al-Babadur dan Penentuan Arah Kiblat.

Menentukan Arah Kiblat Berdasarkan Spherical Trigonometri
Kaedah ini memerlukan kalkulator sainstifix kerana melibat tan, kos & sin. Juga pengiraan berdasarkan koordinat yang tidak boleh dikira oleh kalkulator biasa. Masalahnya, kalkulator sainstifix saya telah hilang/ tertinggal di Tingkat 6, Wisma Persekutuan Negeri Pahang dalam tahun 2006. Insya Allah dalam tulisan saya seterusnya, saya akan cuba sertakan contoh kiraan untuk kita berkongsi ilmu. Cuma di sini saya sertakan formula berkaitan untuk rujukan dahulu. 

Untuk perhitungan arah kiblat, hanya diperlukan dua data :

1). Koordinat Kaabah 
2). Koordinat lokasi yang akan dihitung arah kiblatnya



Kesimpulannya, ingatlah BURUJ AL-BABADUR (ORION) serta tarikh dan masa ini:  28 MEI PUKUL 5.16 PETANG DAN 16 JULAI 5.28 PETANG.


OLEH: jayess11 aka AY aka Fadzli Hisyam
           13 Februari 2011

.


No comments:

Post a Comment